Muhammad Qasim | Muhammad Qasim bin Abdul Karim

[spt-posts-ticker]

Pidato Muhammad Qasim | Pidato Awam Ke-2 di Lahore | 30 Julai 2023

Muhammad Qasim second public speech in lahore. Reply to Mufti Menk, youth club and others haters.

Pidato Awam Ke-2 Muhammad Qasim di Lahore | 30 Julai 2023 | Jawapan kepada Pembenci yang menyebarkan Kebohongan mengenai Diriku, “Aku mengaku sebagai Imam Mahdi”

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, yang merupakan Pemilik langit dan bumi. Pertama sekali, saya ingin menyatakan keimanan saya. Keimanan saya adalah bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan Dia tidak berkongsi kekuasaan-Nya dengan sesiapa pun. Dan Nabi yang Terakhir, Nabi Muhammad SAW adalah Rasul Allah yang paling dicintai oleh-Nya. Allah mengutus baginda sebagai rahmat bagi seluruh alam dan telah menjadikan baginda pemimpin bagi semua nabi. Baginda adalah Penutup Para Nabi. Tidak akan ada nabi selepas baginda, dan rantai kenabian telah berakhir dengannya. Saya mempunyai keimanan dan keyakinan penuh terhadap hal ini.


Sekarang, berkenaan mimpi-mimpi yang saya alami selama bertahun-tahun ini, saya tidak pernah berkongsi dengan sesiapa untuk waktu yang lama. Ketika saya mula berkongsi mimpi pada tahun 2015, itu sudah kira-kira 28 tahun sejak saya mula mendapatkannya. Tetapi sebelum itu, saya tidak pernah berkongsi mimpi-mimpi ini dengan sesiapa, tidak membiarkan sesiapa pun mengetahui bahawa saya menerima mimpi-mimpi ini. Jadi, sehingga Allah SWT tidak memerintahkan saya, saya tidak berkongsi mimpi-mimpi ini dengan sesiapa pun.


Sekarang, ketika saya mula berkongsi mimpi-mimpi ini, saya tidak banyak tahu tentang Hadis, terutama yang berkaitan dengan akhir zaman. Apabila saya mula berkongsi mimpi-mimpi saya, orang-orang yang tidak percaya sering mengatakan bahawa saya mereka-reka mimpi itu sendiri dan cuba menunjukkan bahawa saya adalah Imam Mahdi, walaupun saya tidak mengatakan begitu.


Namun, mereka yang percaya kepada mimpi berkata bahawa mimpi itu datang daripada Allah SWT dan bahawa Dia akan mengurniakan saya kedudukan yang tinggi pada masa hadapan. Kini, semakin ramai orang yang mula bercakap mengenainya.


Pada tahun 2017 atau 2016, Allah SWT memberitahu saya untuk membuat video yang jelas menyatakan bahawa saya tidak membuat sebarang dakwaan dan tidak akan membuat sebarang dakwaan pada masa hadapan. Kemudian saya membuat video tersebut dan di dalamnya, saya menyebut bahawa ini hanyalah perintah Allah SWT dan perintah Nabi Muhammad SAW. Saya berkongsi mimpi-mimpi ini mengikut perintah ini, dan saya tidak membuat sebarang dakwaan. Tidak juga saya akan membuat, sebarang dakwaan. Dan sesiapa yang menggunakan nama Allah SWT dan Nabi-Nya untuk menyesatkan orang ramai, mereka akan dibakar di dalam api neraka selamanya. Dan semoga laknat Allah ke atas para pendusta. Semoga laknat Allah ke atas para pendusta.


Pada waktu itu, saya membuat video, dan saya tidak berkongsi mimpi-mimpi saya selama bertahun-tahun, dan saya juga tidak ingkar kepada Allah SWT, yakni saya mematuhi perintah-Nya. Jadi, apabila Allah SWT memberitahu saya bahawa saya tidak seharusnya membuat sebarang dakwaan, maka, Insha’Allah, saya akan mematuhi Allah SWT dan tidak akan pernah membuat sebarang dakwaan. Dan mereka yang mempercayai mimpi-mimpi ini sebenarnya hanya menyatakan pendapat mereka sendiri. Saya tidak pernah mengatakan perkara sedemikian.


Baru-baru ini, anda melihat bahawa orang ramai membuat video menentang kami di YouTube dan media sosial, dan mereka memfitnah saya (semoga Allah mengampuni mereka), dengan mengatakan bahawa Qasim membuat dakwaan. Jadi, jika saya pernah membuat sebarang dakwaan, tunjukkanlah bukti, sama ada klip, audio, atau apa-apa sahaja yang boleh membuktikannya. Saya telah berkongsi mimpi-mimpi saya selama 8 tahun, dan mereka yang membuat video menentang saya kebanyakannya menggunakan klip dari wawancara saya di saluran NEO TV bersama Dr. Subbyal Ikram.


Dalam wawancara itu, Dr. Subbyal Ikram bertanya kepada saya, “Pada masa lalu, ramai orang telah mendakwa diri mereka sebagai Imam Mahdi. Jadi, adakah anda akan membuat dakwaan pada masa hadapan?” Saya menjawab bahawa saya telah berkongsi mimpi-mimpi saya selama 8 tahun, dan tunjukkan kepada saya satu klip, satu audio, atau satu perbualan di mana saya membuat dakwaan besar. Dakwaan itu adalah sesuatu yang jauh sekali, tetapi mereka hanya menunjukkan satu klip dan berbohong, mengatakan bahawa Qasim membuat dakwaan. Sedangkan realitinya adalah sebaliknya. Mereka pasti telah mononton temu bual di Neo TV, jadi mengapa mereka tidak menunjukkan klip tersebut?


Isu sebenar ialah orang-orang ini menyebarkan pembohongan dan maklumat palsu, mengatakan bahawa saya membuat dakwaan, yang sebenarnya disebabkan oleh rasa iri hati, benci, sombong dan angkuh dalam hati mereka. Disebabkan oleh sifat-sifat buruk ini, mereka membuat propaganda terhadap saya.


Sekarang , ada seseorang yang menyebut seorang YouTuber, mengatakan bahawa dia adalah penyokong besar saya (Muhammad Qasim), tetapi dia tidak mendedahkan namanya. Jadi, saya seharusnya berani untuk menyebut namanya, iaitu Awais Naseer. Awais Naseer adalah orang pertama yang mengatakan di YouTube bahawa saya mungkin menjadi seseorang yang tertentu pada masa hadapan.


Orang itu tidak mendedahkan namanya kerana, jelas sekali, orang akan mencari namanya, Awais Naseer, dan melawat salurannya, menonton semua videonya, dan kemudian mereka akan tahu bahawa sebenarnya, Qasim tidak pernah membuat sebarang dakwaan, tetapi Awais Naseer yang mempromosikan idea ini. Pada masa itu, Awais Naseer ada, dan kini terdapat ramai lagi seperti Syed Irfan, Syed Wajahat Ali, Fahad Khan, Saqib Anayatullah, dan ramai lagi, termasuk Faisal Bhai.


Mereka juga kini memperkatakan tentang saya, dan saya tidak pernah membuat sebarang dakwaan sedemikian. Walaupun saya telah menjadi sangat terbuka dengan orang-orang ini, dan kadangkala, dalam keterbukaan, seseorang mungkin mengatakan sesuatu yang besar, tetapi tanyakan kepada mereka, saya tidak pernah mengatakan apa-apa yang besar walaupun dalam keterbukaan. Jadi, dakwaan itu adalah sesuatu yang jauh sekali, dan orang-orang ini yang membuat video dengan mengatakan bahawa saya akan membuat dakwaan (semoga Allah mengampuni saya) pada masa hadapan, hanya akan kecewa. Tetapi mereka tidak akan pernah mendengar sebarang dakwaan sedemikian dari mulut saya, Insha’Allah.


Sekarang, saya ingin mengatakan bahawa bahkan ulama besar dan wakil agama (Mufti Menk) telah berdusta tentang saya tanpa melakukan sebarang penyiasatan, mengatakan bahawa saya telah membuat dakwaan tertentu. Walhal beliau mempunyai tweet yang di sematkan (pin) , yang menyatakan, “Apabila kamu menerima sebarang berita, pastikan kamu menyelidikinya terlebih dahulu, supaya kamu tidak bertindak tergesa-gesa atau dalam salah faham sehingga menyakiti perasaan sesama Muslim.”


Beliau menyampaikan mesej kepada orang lain melalui tulisan tweetnya itu. Tetapi apabila beliau menerima berita sedemikian, beliau sendiri tidak mengesahkannya. Sebaliknya menyebarkan pembohongan. tentang seorang Muslim lain, dengan mengatakan bahawa saya telah membuat dakwaan, malah sampai mengatakan bahawa perkara ini melucukan. Mereka memperolok-olokkan saya dan mengatakan bahawa saya menghidap penyakit mental, bukan sahaja saya, tetapi juga mereka yang bersama saya. Jadi, apakah golongan ulama dan pemimpin agama seperti ini yang dianggap memimpin serta mewakili Islam di peringkat global, sambil mendakwa mengikuti Sunnah Nabi Muhammad SAW? Di satu pihak, mereka mendakwa memimpin dan mewakili Islam di seluruh dunia, namun di pihak lain, mereka menyebarkan fitnah terhadap seorang Muslim tanpa melakukan sebarang siasatan terlebih dahulu.


Sekarang, saya akan memberi satu contoh daripada kehidupan para nabi Allah. Pada zaman Nabi SAW, terdapat seorang wanita yang mengalami penyakit mental, yakni dia tidak stabil dari segi mental. Tiada seorang pun yang ingin bercakap dengannya, dan semua orang mengelaknya. Pada suatu hari, dia bertemu Nabi SAW di jalan, dan baginda bercakap dengannya serta mendengar ceritanya sehingga dia selesai bercakap, meskipun dalam keadaan panas terik di bawah matahari. Pakaian Nabi SAW basah kuyup dengan peluh, tetapi baginda tidak peduli. Para sahabat yang melihat dari jauh berasa hairan.


Apabila wanita itu selesai bercakap dan berlalu pergi, para sahabat bertanya kepada Nabi SAW, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau membuang begitu banyak masa dengan wanita gila ini dalam cuaca panas begini?” Nabi SAW menjawab, “Jika tiada orang lain bercakap dengannya, adakah itu bermakna aku juga tidak patut bercakap dengannya?”


Ini menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak pernah menyakiti perasaan sesiapa pun, bahkan seorang yang sakit mental, dan baginda mendengar keseluruhan perbualannya.


Sekarang, kepada mereka yang membuat video menentang saya dan kami di YouTube serta media sosial, mengatakan bahawa saya telah membuat dakwaan, dan malah memanggil saya sakit mental. Kamu mendakwa mencintai Nabi SAW lebih daripada saya dan mengikut Sunnah baginda, tetapi ini juga adalah Sunnah baginda. Mengapa kamu tidak mengikutinya?


Jika kamu benar-benar mengikutinya, sudah pasti, walau apapun pandangan kamu terhadap saya, kamu akan mendengar keseluruhan perbualan saya dan berkata benar kepada orang ramai bahawa sebenarnya, Qasim tidak pernah membuat sebarang dakwaan.



Pertama sekali, Awais Naseer yang memberitahu orang ramai tentang perkara ini, kemudian orang lain tampil ke hadapan, supaya orang mengetahui kebenaran. Namun, kerana orang-orang ini mempunyai rasa iri hati dan benci dalam hati mereka, mereka berdusta dan menyebarkan maklumat palsu. Hari ini, masalahnya adalah kita telah jauh tersasar daripada ajaran Islam yang sebenar. Kita menganggap berbohong sebagai satu kemahiran, satu bakat. Kita fikir ia adalah bakat untuk mengejek seseorang, untuk memperolok-olokkan mereka.


Sekarang, tokoh-tokoh agama besar yang menulis ciapan Twitter dan mengatakan dalam video mereka (bahawa saya membuat dakwaan), pengikut mereka pasti berkata, “Wow, hebat apa yang tokoh-tokoh ini lakukan! Mereka telah mendedahkan seorang yang benar dan memperolok-olokkannya. Dengan cara yang bahkan bukan Islamik.” Islam Nabi Muhammad SAW berbeza daripada ini. Baginda tidak pernah memanggil seorang munafik sebagai munafik di hadapan mereka, ataupun memanggil seorang pendusta sebagai pendusta.


Jadi, jika orang-orang ini mendakwa mengikuti ajaran dan Sunnah Nabi SAW, mengapa mereka mengabaikan perkara-perkara ini? Ini juga sebahagian daripada Sunnah Nabi SAW, bahawa seorang pendusta tidak boleh dipanggil pendusta tanpa siasat. Ini juga sebahagian daripada ajaran Nabi SAW. Tetapi kita melupakan perkara-perkara ini dan menampilkan Islam kepada dunia dengan cara memberitahu kepada bukan Muslim bahawa kita memanggil seseorang sebagai pendusta tanpa siasat.


Beliau (Mufti Menk) mempunyai satu ciapan Twitter yang dipaparkan, yang menyatakan, “Jika kamu menerima sebarang berita, pastikan untuk menyelidikinya terlebih dahulu.” Tetapi mereka tidak mengamalkan apa yang mereka sampaikan. Ini adalah double standard, di mana mereka menyuruh orang lain melakukan satu perkara tetapi mereka sendiri melakukan sebaliknya. Nabi SAW tidak pernah melakukan ini, dan baginda juga tidak pernah menyuruh orang lain melakukannya.


Jadi, Mufti Sahib dan tokoh-tokoh agama lain yang menulis tweet tentang perkara ini tetapi tidak mengamalkannya, serta mereka yang membuat video menentang kami dan memberikan komen tentangnya, saya membaca dan menonton mereka, dan saya akan mengatakan bahawa rasa iri hati dan benci dalam hati merekalah yang mereka zahirkan terhadap kami.


Sekarang, saya akan memberi anda satu contoh berkaitan dengan mimpi. Dalam mimpi itu, saya sedang membawa sebuah kotak dan memasuki sebuah bangunan. Seseorang memanggil saya dari belakang, berkata, “Qasim, berhenti sekejap.” Saya terkejut kerana ada seseorang yang tahu nama saya, sedangkan saya memakai pakaian lama dan berselipar plastik. Apabila saya berpaling, saya sangat terkejut melihat Nabi Sulaiman AS berdiri di belakang saya. Baginda bertanya apa yang ada dalam kotak itu. Saya menjawab bahawa saya tidak tahu apa yang ada di dalamnya. Nabi Sulaiman AS kemudian bertanya, “Dari mana kamu dapat kotak itu?” dan saya memberitahu baginda bahawa saya menemukannya di atas sebuah bangunan di satu tempat. Baginda bertanya sama ada orang-orang di sana melihat saya, dan saya berkata tidak, mereka tidak melihat saya. Saya juga hairan mengapa orang-orang itu tidak melihat saya.


Nabi Sulaiman AS berkata bahawa terdapat sebuah cincin di dalam kotak itu dan baginda memberitahu saya agar menyimpan cincin itu, tetapi menyerahkan kotak tersebut kepada baginda. Baginda berkata, “Mereka itu adalah jin-jin jahat. Jika mereka mengetahui bahawa kotak itu tiada di sana, mereka akan mengejar kamu sehingga kamu mengembalikan cincin itu kepada mereka. Sampai waktu itu, mereka akan terus memburu kamu.” Maka, baginda mengeluarkan cincin itu, memberikannya kepada saya, dan baginda mengambil kotak tersebut untuk menjaganya dengan selamat.


Sekarang, melalui contoh Nabi Sulaiman AS ini, saya ingin menyampaikan kepada anda betapa sucinya hati dan jiwa para nabi Allah bahawa para nabi Allah SWT begitu suci, hati dan dada mereka begitu bersih dan jernih. Dalam mimpi itu, saya sedang membawa salah satu cincin baginda, sebuah cincin berharga milik baginda. Namun, baginda tidak langsung terlintas untuk memikirkan bahawa jin-jin itu mungkin akan merampasnya kembali daripada saya. Tidak. Lihatlah akhlak para nabi, bagaimana Allah SWT telah melatih dan membimbing mereka. Bukan sahaja baginda tidak berfikir untuk mengambil cincin itu secara paksa, malah baginda memberitahu saya bahawa ada cincin di dalam kotak itu.


Baginda menawarkan bantuan kepada saya, memberitahu bahawa cincin itu ada di sana, dan menyuruh saya datang kepada baginda keesokan harinya untuk diajar cara menggunakan cincin itu. Malah, baginda turut mengirimkan surat kepada saya yang menjelaskan kaedah penggunaannya.


Tujuan perkongsian ini adalah untuk menyampaikan bahawa mereka yang membuat video dan komen buruk terhadap saya sebenarnya dipenuhi rasa iri hati dan benci dalam hati mereka. Seorang ulama malah pernah berkomentar bahawa dia solat lima waktu sehari, melakukan tahajjud, dan mempunyai janggut, tetapi dia tidak mendapat mimpi. Jadi, kenapa saya mendapat mimpi? Ini hanyalah iri hati dan benci. Ketika Nabi Sulaiman AS melihat bahawa Allah SWT telah memberikan saya cincin itu dan memberi saya akses kepadanya, baginda membantu dan membimbing saya, malah memberitahu saya tentang cincin itu. Jika tidak, saya sendiri tidak akan tahu.


Ini adalah contoh dari Nabi Sulaiman AS. Sebelum itu, saya ingin katakan bahawa jika salah seorang daripada mereka yang membuat komen dan video buruk itu hadir dalam situasi tersebut, mereka mungkin akan merampas kotak itu daripada saya sambil berkata, “Siapa kamu? Lihatlah pakaian dan penampilan kamu, adakah kamu layak membawa cincin ini?” Mereka pasti akan merampas kotak itu daripada saya dan menolak saya ke tepi.


Sekarang, lihatlah perbezaan antara mereka ini dengan para nabi Allah SWT. Mereka mungkin bertindak sedemikian, tetapi para nabi Allah SWT membantu dan membimbing saya.


Sekarang, saya akan memberikan satu lagi contoh tentang Nabi Sulaiman AS, seperti yang disebutkan dalam Surah An-Naml. Nabi Sulaiman AS sedang duduk di mahkamahnya, dan seorang ratu sedang dalam perjalanan untuk bertemu dengannya. Nabi Sulaiman AS ingin mengetahui sama ada terdapat sesiapa yang memiliki ilmu yang telah Allah SWT ajarkan kepadanya, khususnya ilmu mengawal angin. Maka, baginda bertanya kepada jin dan manusia yang berada di mahkamahnya, “Adakah sesiapa di sini yang boleh membawa takhta ratu itu kepada saya sebelum dia tiba?”


Seorang jin yang kuat berdiri dan berkata, “Sebelum tuanku bangun dari tempat duduk, saya akan membawa takhta itu kepada tuanku, dan saya adalah seorang yang boleh dipercayai.”


Kemudian, seorang manusia biasa yang memiliki ilmu daripada kitab Allah berdiri dan berkata, “Saya akan membawa takhta ratu itu kepada tuanku sebelum tuanku sempat mengerdipkan mata.” Apabila Nabi Sulaiman AS melihat takhta itu sudah berada di hadapannya, baginda berkata, “Ini adalah kurniaan daripada Allah, untuk menguji saya sama ada saya bersyukur kepada Allah SWT atau kufur. Sesiapa yang bersyukur kepada Allah SWT, maka dia bersyukur untuk kebaikan dirinya sendiri, dan sesiapa yang kufur, sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.”


Sekali lagi, ketika Allah SWT menguji Nabi Sulaiman AS, tidak ada rasa iri hati atau benci di dalam hatinya, tiada rasa sombong atau takbur. Sebaliknya, baginda bersyukur kepada Allah SWT. Apabila baginda melihat bahawa ilmu yang Allah SWT berikan kepadanya juga dimiliki oleh seorang manusia biasa yang mampu membawa takhta ratu itu sebelum baginda sempat mengerdipkan mata, baginda tetap bersyukur kepada Allah SWT. Contoh-contoh yang Allah SWT berikan kepada kita dalam Al-Quran mungkin kelihatan kecil bagi kita, tetapi Allah SWT telah menjelaskannya dengan mendalam. Dia mahu kita memahami bagaimana untuk membuang rasa iri hati dan benci daripada hati kita.


Sekarang, apabila saya melihat video-video dan komen-komen tersebut, saya berfikir, “Allah SWT telah memberikan saya tangan dan lidah. Saya juga boleh membuat video dan membalas mereka dalam bahasa mereka.” Namun, saya cuba mengawal rasa iri hati dan benci dalam hati saya. Hanya kerana mereka melakukan sesuatu, tidak bermakna saya harus menjadi seperti mereka. Saya serahkan urusan saya kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Saya mengawal rasa iri hati dan benci dalam diri saya dengan mengingat bahawa Allah SWT yang menciptakan mereka yang membuat video dan komen terhadap saya. Jika Allah SWT tidak menghendaki, mereka tidak akan mampu mendekati saya dan tidak akan mampu membuat video terhadap saya. Jadi, jika mereka telah membuat video, itu adalah dengan izin Allah SWT, dan jika Allah SWT tidak menghendaki, Dia tidak akan menciptakan mereka pada waktu ini, sebagaimana Dia tidak menciptakan ramai orang lain.


Jadi, jika Allah SWT telah mengizinkan semua ini berlaku – seperti video-video yang dibuat tentang saya dan komen-komen yang diberikan – saya menganggapnya sebagai kehendak Allah SWT dan memilih untuk mengabaikannya. Anda mungkin perasan bahawa sudah lapan tahun saya melakukan perkara ini, dan saya tidak pernah membalas komen atau membuat video sebagai respons. Saya menyerahkan segalanya kepada Allah SWT, kerana saya yakin Dialah yang akan memberikan jawapan kepada mereka. Mereka yang menyokong saya selalu berkata, “Bersabarlah, kerana orang-orang ini mungkin boleh melarikan diri daripada kamu, tetapi mereka tidak akan dapat melarikan diri daripada Allah SWT, Tuhan sekalian alam.” Allah SWT pasti akan mengadili mereka pada Hari Kiamat dan akan menyoal mereka tentang tuduhan palsu yang mereka buat terhadap saya serta rasa iri hati dan benci yang mereka tunjukkan.


Hari ini, umat Islam telah menjadi begitu jauh daripada ajaran agama kita. Saya ingin memberikan satu lagi contoh. Orang-orang bukan Islam juga diciptakan oleh Allah SWT. Mereka tidak mencipta diri mereka sendiri, jadi tidak sepatutnya kita mengejek atau memperlekehkan mereka kerana Allah SWT tidak menyukai perbuatan itu. Baru-baru ini, anda mungkin perasan ketika kejohanan bola sepak di Qatar, apabila Arab Saudi melawan Argentina dan Arab Saudi menang.


Selepas itu, ramai umat Islam membuat ejekan terhadap Messi. Perkara ini tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim. Tidak sepatutnya kita mengejek, sama ada terhadap orang Islam atau bukan Islam. Itu bukan martabat seorang Muslim. Kemudian, jika anda perhatikan, Allah SWT memberikan satu pengajaran. Orang yang anda ejek, iaitu Messi, telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai wira kejohanan tersebut. Anda dapat melihat sendiri bagaimana beliau diangkat di seluruh dunia. Ini sebenarnya adalah pengajaran daripada Allah SWT, bahawa orang yang anda ejek itu juga adalah ciptaan Allah SWT. Dia tidak mencipta dirinya sendiri. Jadi, apabila kita mengejek seseorang, secara tidak langsung kita seolah-olah merendahkan ciptaan Allah SWT, seolah-olah kita mengatakan bahawa Allah SWT telah melakukan kesilapan dengan menciptanya.


Oleh itu, kita perlu memperbaiki diri kita dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW dan membuang rasa iri hati serta benci dalam hati. Pada masa kini, kita melihat adanya 73 puak dalam Islam. Perkara ini tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi berpunca daripada rasa iri hati dan benci dalam hati yang menyebabkan perpecahan ini. Kini, satu puak tidak dapat menerima puak yang lain. Jika ada seseorang yang mengutarakan pandangan yang berbeza, kita terus menolaknya. Apa punca sebenar di sebalik semua ini? Ia adalah rasa iri hati, benci, angkuh dan sombong yang ada dalam hati kita, dan kita tidak bersedia untuk menghapuskan semua itu dari hati kita.


Sekarang, terdapat satu peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW (selawat dan salam ke atasnya). Beberapa sahabat membawa dua ekor anak burung kepada baginda, dan ibu burung tersebut terbang mengelilingi mereka, mencari anak-anaknya. Apabila Nabi SAW melihat ini, baginda bertanya mengapa ibu burung tersebut terbang dalam keadaan cemas. Diketahui bahawa sahabat-sahabat tersebut telah mengambil anak burung tersebut. Nabi SAW kemudian memerintahkan mereka untuk mengembalikan anak burung tersebut ke sarangnya, sambil mengatakan bahawa tidak baik untuk menyebabkan kesakitan kepada sesiapa, walaupun kepada seekor burung. Ini menunjukkan bahawa Nabi SAW sangat prihatin terhadap kesejahteraan makhluk yang tidak bersuara sekalipun. Tetapi, kita di sisi lain, cepat untuk menghukum dan mengutuk orang Islam lain tanpa penyiasatan yang betul, walaupun kita tahu bahawa tuduhan tersebut adalah palsu. Kita melakukannya hanya untuk menunjukkan bahawa kita membela Islam, dan setiap kali fitnah (ujian atau godaan) baru muncul, kita segera memberitahu orang untuk berhati-hati mengenainya. Tetapi saya ingin bertanya, apakah fitnah ini? Banyak tahun yang lalu, Allah SWT memberitahu saya bahawa apabila saya tidur, saya harus membaca Surah Ikhlas, Surah Nas, dan Surah Falaq agar syaitan menjauh dari saya.


Anda tahu maksud saya, saya bermimpi di mana saya diberitahu untuk menghindari syirik dan segala jenisnya. “Sehinggalah kamu menghindari syirik dan jenis-jenisnya, pertolongan Allah SWT tidak akan sampai kepada kamu”. Apa yang mudarat dalam hal ini? Kemudian dalam mimpi yang lain, Allah SWT memberitahu saya bahawa “apabila kamu makan, bersihkan pinggan kamu dengan jari kamu, maka saya akan merancang untuk kamu”. Sekarang, katakan kepada saya, apa yang mudarat dalam hal ini? Begitu juga, selepas syirik, Allah SWT menekankan kepada saya bahawa saya tidak boleh kehilangan harapan dengan rahmat Allah SWT, kerana hanya orang kafir yang kehilangan harapan dalam rahmat Allah. Jadi, apakah ujian atau fitnah ini yang memberitahu saya untuk tidak kehilangan harapan dari rahmat Allah SWT dan untuk bersabar, dan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan ganjaran bagi mereka yang sabar? Begitu juga, Allah SWT mengajar saya dalam mimpi untuk bersikap baik terhadap kanak-kanak. Berbuat baik kepada ibu bapa, apa yang mudarat dengan itu? Apakah ujian atau cubaan ini? Dan orang akan berkata bahawa semua perkara ini sudah ada dalam Islam dan Al-Quran. Memang benar, semuanya ada. Tidak ada yang baru dalam hal ini. Tetapi adakah anda mengamalkan apa yang anda katakan? Adakah anda mengamalkan apa yang anda komen atau buat video mengenainya? Langsung tidak.


Jika anda melakukannya, anda akan berkata, ‘Baiklah, kami akan bersabar, sudah lapan tahun dan dia tidak membuat apa-apa dakwaan, mari kita lihat jika mimpinya benar, dan jika benar, kami akan mempercayainya.’

Sekarang, mengenai mimpi-mimpi itu, mimpi tersebut telah dimuat naik ke YouTube dengan tarikh lama. Tidak mungkin anda memuat naik video baharu dan kemudian mengubah tarikh kepada tarikh yang lama. Jadi, periksalah video-video lama itu, di mana saya juga mengatakan bahawa saya tidak membuat dakwaan palsu, dan semua mimpi berkaitan Imran Khan telah menjadi kenyataan tepat seperti yang saya lihat dalam mimpi saya, contohnya mimpi di mana saya melihat Imran Khan akan gagal.


Pada tahun 2018, ketika pilihan raya diadakan dan Imran Khan menang, dengan sokongan kuat daripada pihak berkuasa serta semangat yang dibawanya, kelihatannya seperti beliau tidak mungkin gagal. Tetapi saya telah bermimpi bahawa Imran Khan akan gagal dan tidak akan dapat melengkapkan pemerintahannya. Saya memberitahu Imran Abbasi dari UK dan Abdullah Qureshi dari Perancis bahawa saya tidak percaya Imran Khan akan gagal, sebab itu saya tidak berkongsi mimpi tersebut. Namun, Imran Abbasi berkata bahawa mimpi ini datang daripada Allah SWT, jadi saya perlu berkongsi kerana ia pasti akan menjadi kenyataan. Maka saya berkata, “Baiklah, kamu berdua buat video tentang mimpi ini, dan saya akan berkongsinya.” Lalu, mereka membuat video dengan suara mereka sendiri, termasuk Abdullah Qureshi, dan mereka berkongsi mimpi tersebut.


Anda boleh lihat bahawa apa yang saya mimpikan kini dianggap oleh sesetengah orang sebagai sesuatu yang saya reka-reka, atau sekadar ramalan. Tetapi bagaimana mungkin saya mereka mimpi itu pada tahun 2018, sedangkan pada tahun 2022 dan 2023, Imran Khan menggunakan perkataan yang sama seperti dalam mimpi saya? Contohnya, dalam satu mimpi pada tahun 2018, Imran Khan berkata, “Kami bukan hamba kamu.” Jika anda perasan, pada tahun 2022, kata-kata Imran Khan, “Kami bukan hamba Amerika,” menjadi sangat popular. Bagaimana mungkin seseorang meletakkan kata-kata yang sama dalam mulut orang lain?


Kemudian, ada satu lagi mimpi pada 6 Mac 2022, di mana Imran Khan berkata, “Jika kamu rasa ada orang lain yang boleh datang dan mentadbir lebih baik daripada saya, maka baiklah, pilih dia, saya akan pergi.” Beberapa bulan lalu, Imran Khan mengucapkan kata-kata yang sama dalam ucapannya. Bagaimana mungkin mimpi yang saya reka menjadi kenyataan dalam bentuk yang sama?


Apa yang saya lihat dalam mimpi saya, saya nyatakan kepada orang ramai: jika mimpi saya tentang Imran Khan benar sepenuhnya, maka mimpi saya yang lain, yang berkaitan dengan kebesaran Islam dan kemakmuran Pakistan, juga akan menjadi kenyataan. Ada juga mimpi lain yang berkaitan dengan era Imran Khan, seperti mimpi di mana sebuah tanah tenggelam, yang merujuk kepada bencana alam, dan jika anda lihat, pandemik COVID-19 juga berlaku pada era Imran Khan. Dalam mimpi lain, saya menyebut bahawa sudah 74 tahun sejak Pakistan ditubuhkan, tetapi semua pihak, termasuk tentera yang pernah memerintah, telah mencuba membawa kemakmuran kepada negara ini. Namun, bukannya membawa kemakmuran, negara ini semakin merosot dan tenggelam dalam kegelapan. Hanya ada satu sebab utama untuk ini: tiada pemimpin yang datang untuk membersihkan negara ini daripada syirik dan segala bentuknya. Selagi kita tidak membersihkan negara ini daripada syirik, bantuan Allah SWT tidak akan tiba.


Mencipta patung dan meniupkan roh ke dalamnya adalah pekerjaan Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam. Ketika Allah SWT menciptakan patung Nabi Adam AS, Dia memerintahkan semua malaikat untuk sujud kepada Adam, dan semuanya melakukannya kecuali Iblis. Kesombongan dan keangkuhan dalam hatinya menghalangnya daripada sujud. Dia berkata, “Aku diciptakan dari api, aku lebih mulia, sedangkan mereka diciptakan dari tanah liat, jadi mengapa aku harus sujud kepada mereka?” Maka, Allah SWT menolak Iblis dan mengusirnya dari tempat itu.


Begitu juga, sifat syirik ini yang berupa kesombongan, keangkuhan, kebencian, dan dendam, saya ingin tegaskan sekali lagi, bahawa sifat-sifat ini semakin meningkat dalam kalangan umat Islam hari ini. Memperolok-olokkan orang lain sangat dibenci oleh Allah SWT. Malah, Allah SWT telah menunjukkan kepada saya bahawa sesiapa yang memperolok-olokkan seseorang, Allah SWT akan menghukumnya dengan cara tertentu.


Dalam mimpi, Allah SWT berkata bahawa jika seseorang itu seorang ulama besar pada zamannya, tetapi dia mengejek seseorang yang tidak solat dengan berkata secara berseloroh, “Kamu tidak solat, sedangkan aku solat lima waktu setiap hari,” maka perkara ini dianggap sangat besar di sisi Allah SWT. Seolah-olah ulama tersebut telah jatuh dari puncak langit ke dasar bumi. Maksudnya, mengejek seseorang adalah dosa yang sangat besar di sisi Allah SWT. Tetapi dalam zaman kita hari ini, kita menganggap mengejek sebagai satu kemahiran, bakat, atau seni, dan masyarakat pula menghargainya.


Mereka yang menghargainya juga adalah orang Islam, tetapi kita jarang memberi perhatian kepada perkara-perkara seperti ini. Pada tahun 2006, apabila Allah SWT menegur saya sedikit dalam mimpi, saya membuat tekad yang kukuh untuk mencari keredhaan Allah SWT. Sekarang, Allah SWT tidak memerlukan kita, tetapi kitalah yang memerlukan Allah SWT. Kita hanya dapat mencari keredhaan Allah SWT apabila kita melakukan perkara yang disukai-Nya dan menjauhi perkara yang dilarang oleh-Nya. Maka, Allah SWT mula mengajar saya, dan saya mula melawan nafsu dalam diri saya sendiri.


Saya berkata, “Tidak, saya akan mencari keredhaan Allah, Tuhan sekalian alam, dalam setiap keadaan.” Maka, dalam hal ini, Allah SWT terlebih dahulu memberitahu saya tentang bahaya syirik, kemudian tentang kebencian dan dendam, kesombongan dan keangkuhan. Allah SWT juga mengingatkan saya agar tidak berjalan di muka bumi ini dengan kesombongan, tetapi dengan kerendahan hati, dan kepala yang tunduk, supaya saya tidak merosakkan bumi ini. Saya mula berusaha untuk mengamalkan perkara ini.


Kemudian, semasa saya melakukannya, tahun 2014 tiba, dan Allah SWT sekali lagi berkata, “Sampaikan kepada manusia tentang mimpi-mimpi yang telah Aku tunjukkan kepadamu. Aku ingin menunjukkan kepada dunia siapa dirimu.” Tetapi, ini adalah tugas yang berat bagi saya, dan saya berkata, “Siapa yang akan percaya kepada mimpi-mimpi ini? Tiada siapa yang mengenali saya di kawasan kejiranan saya.” Jadi, bagaimana orang yang tidak pernah mengenali saya sebelum ini akan mempercayai saya?


Allah SWT kemudian berkata, “Qasim, apabila Aku berkehendak melakukan sesuatu, Aku akan melakukannya, dan tiada siapa yang dapat menghalang-Ku. Aku berkuasa atas segala urusan-Ku.” Maka, apa yang saya lihat hari ini adalah anda semua berada di sini, bermaksud, anda boleh katakan bahawa saya tidak pernah bercakap seperti ini, bahkan di hadapan empat atau lima orang rakan, seperti cara saya bercakap hari ini.


Ucapan pertama saya adalah yang sebelum ini, dan ketika itu saya agak keliru. Sudah tentu, perkara ini adalah biasa, kerana orang-orang besar seperti Imran Khan dan lain-lain pun, apabila mereka memberikan ucapan pertama dalam hidup mereka, mereka pasti berasa sangat keliru juga. Tetapi Allah SWT telah mempermudahkan saya untuk menyampaikan ucapan itu, walau bagaimanapun keadaannya. Namun, walaupun begitu, ramai yang memperkatakan mengenainya bahawa saya tidak dapat bercakap dengan baik.


Saya ingin katakan sekali lagi bahawa anda semua bukan sedang memperolokkan saya, tetapi secara tidak langsung, na’uzubillah, anda memperolokkan Allah SWT, seolah-olah Allah SWT telah melakukan kesilapan dengan menciptakan saya atau menjadikan saya begini, na’uzubillah. Oleh itu, kita semua perlu menjaga hati kita agar tetap bersih.


Apabila mereka mengetahui bahawa saya mempunyai mimpi-mimpi, mereka juga menolak saya atas alasan ini. Mereka berkata, “Kami ini orang yang solat, kami solat tahajud, kami menyimpan janggut, tetapi dia tidak menyimpan janggut dan tidak bersolat.” Ini juga menjadi sebab mengapa mereka memperolokkan dan menolak saya dengan cara itu. Tetapi mungkin, mungkin sahaja, Allah SWT ingin menguji anda semua melalui cara ini, melalui cara anda bercakap dan bertindak terhadap saya.


Allah SWT ingin menguji orang-orang ini dan melihat sejauh mana kebencian dan dendam yang ada di dalam hati mereka—adakah dada mereka dipenuhi dengan kebencian atau hati mereka bersih? Anda boleh menonton video mereka dan membaca komen mereka untuk memahami dengan jelas sejauh mana kebencian itu wujud dalam hati mereka.


Di sini, saya ingin katakan bahawa saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai orang yang suci dan bersih, kerana nafsu manusia sentiasa mengajak kepada kejahatan. Saya melakukan dosa, kemudian saya bertaubat kepada Allah SWT seribu kali, berjanji tidak akan melakukannya lagi. Namun, tetap ada kemungkinan dosa itu akan berlaku lagi kerana nafsu manusia sentiasa cenderung ke arah keburukan. Tetapi Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Dia memandang hamba-Nya dengan rahmat dan belas kasih-Nya.


Sebab itu, saya sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri saya. Saya sentiasa berusaha untuk menghapuskan kebencian, dendam, kesombongan, dan keangkuhan dalam diri saya. Ini adalah tugas yang sangat sukar, terutama dalam zaman sekarang, tapi ia adalah usaha untuk menyelamatkan diri daripada syirik dan segala bentuknya. Saya cuba mengamalkan perkara-perkara yang Allah SWT dan Rasulullah SAW ajarkan kepada saya, melalui mimpi-mimpi.


Dan saya, anda lihat bahawa SWT juga menyampaikan satu mesej melalui ini bahawa Qasim telah mula menyelamatkan dirinya daripada syirik dan segala bentuknya. Oleh itu, Dia (Allah SWT) mula membantu saya (Muhammad Qasim). Pada tahun 2015, saya bersendirian, tiada siapa yang mengenali saya. Tetapi hari ini, dengan rahmat ALLAH SWT anda lihat bahawa semua yang duduk di sini, sebelumnya tidak mengenali antara satu sama lain, dan kini orang dari seluruh dunia yang saling berhubung juga tidak mengenali satu sama lain.


Budaya kita berbeza, bangsa kita berbeza, wilayah kita juga berbeza, tetapi agama kita sama, Alhamdulillah. Orang dari Indonesia, Malaysia, bahkan anda mungkin tidak percaya bahawa Muslim dari India juga percaya pada mimpi-mimpi ini. Orang Bangladesh ramai yang percaya, begitu juga orang Pakistan, Alhamdulillah. Dari Amerika, Eropah, malah beberapa hari lalu saya melihat satu video dari Perancis. Orang itu bercakap dalam bahasa Perancis, dan dia adalah orang Perancis, seorang Muslim yang lahir di sana. Dia juga percaya pada mimpi-mimpi ini.


Saya terkejut melihat video itu dan bertanya-tanya siapa dia. Kemudian saya bertanya kepada Abdullah Qureshi yang tinggal di Perancis. Saya bertanya, “Adakah orang ini bercakap benar?” Abdullah berkata, “Ya, dia percaya pada mimpi-mimpi anda.” Saya bertanya lagi, “Bagaimana dia mengetahui tentang mimpi ini?” Dia menjawab, “Saya tidak tahu, tetapi dia sendiri mengatakan bahawa dia percaya.”


Fakta bahawa orang ini mahu bercakap dengan saya menunjukkan bahawa ini adalah rahmat dan pertolongan Allah. Lihatlah bagaimana orang dari seluruh dunia kini mula percaya pada mimpi-mimpi ini. Allah SWT memberikan satu alasan untuk ini, bahawa, “Qasim, Aku menolongmu kerana kamu telah mula menyelamatkan dirimu daripada syirik dan bentuk-bentuknya.”


Jika kita lihat, sebagai individu saya melakukan ini, Allah menolong saya. Bayangkan jika kita, umat Islam yang jumlahnya lebih daripada satu setengah bilion ini, semua menjaga diri daripada syirik dan bentuk-bentuknya. Ketika pertolongan Allah datang, orang-orang kafir tidak akan mampu melawan kita.

Dan sekarang keadaan kita adalah kita tidak dapat pun memprotes dengan betul. Maksud saya, anda pasti telah melihat apa yang berlaku di Sweden dan reaksi para pemimpin Muslim. Bagaimana reaksi mereka? Semua ini hanya kerana hari ini kita telah berhenti menyelamatkan diri kita daripada syirik dan segala bentuknya. Kita bahkan tidak tahu apa itu syirik.


Orang pergi ke makam, bersujud, dan membuat permintaan – semua ini adalah syirik. Anda tidak boleh memohon pertolongan daripada sesiapa kecuali Allah SWT. Jika anda melakukannya, itu adalah syirik. Syirik bermula dengan gambar-gambar, kemudian patung-patung dibuat, kemudian mereka mula berkata, “Patung ini untuk hujan,” nauzubillah, “dan ini untuk rezeki,” dan dengan cara ini mereka mula menyebarkan syirik.


Jadi, hari ini jika anda lihat, perkara yang sama sedang berlaku dalam masyarakat kita. Walaupun anda pergi ke sebuah kampung, perkara yang sama akan berlaku, hanya bentuknya mungkin berbeza, tetapi intinya tetap sama. Sekarang, jika anda lihat, Nabi Isa AS juga pernah membuat patung berupa burung. Tetapi dengan perintah dan izin Allah SWT, Nabi Isa meniup padanya, lalu patung itu menjadi burung hidup dan terbang pergi.


Sekarang, semua haiwan dan makhluk ini, ada kemungkinan bahawa Allah SWT, pertama kali membuat patung mereka, kemudian meniupkan nyawa ke dalamnya dan mereka menjadi hidup. Jadi, perbuatan membuat patung dan meniupkan nyawa ke dalamnya adalah kerja Allah SWT.


Namun, jika ada orang lain yang membuat patung, dia akan melakukan syirik terhadap Allah SWT. Maksudnya, nauzubillah, dia seolah-olah berkata bahawa jika Allah SWT, boleh melakukan kerja ini, maka saya juga boleh melakukannya, nauzubillah.


Pada Hari Kiamat, Allah SWT, akan berkata kepada mereka, “Hidupkanlah berhala ini, gambar ini,” dan mereka tidak akan mampu melakukannya. Jadi, terdapat banyak kekeliruan dalam hal ini. Orang berkata bahawa kita juga menggunakan gambar, membuat video di media sosial, bukankah itu sama?


Namun, dalam hal ini, Allah SWT, juga telah mengajarkan saya melalui mimpi bahawa di mana ada keperluan, atau di mana undang-undang negara diterapkan, atau melibatkan kesihatan, atau rezeki, maka ia dibolehkan, sehingga sebuah sistem Islam yang benar-benar berdasarkan ajaran Nabi Muhammad SAW ditegakkan.


Sebagai contoh, apabila kita membuat thumbnail di media sosial, terdapat gambar di dalamnya, tetapi gambar itu dalam bentuk digital, dan apabila anda mematikan telefon bimbit atau komputer riba, gambar itu hilang. Ia bertukar kembali menjadi data, dan kita hanya menggunakannya setakat mana yang diperlukan. Jika anda perhatikan, dalam semua profil kita, kita telah cuba mengelakkan penggunaan gambar.


Namun, seperti mana terdapat undang-undang negara, terdapat gambar pada wang kertas, gambar diperlukan pada kad pengenalan, gambar diperlukan pada pasport, dan banyak perkara yang memerlukan gambar. Sebagai contoh, jika seseorang bekerja, dan syarikat menetapkan bahawa gambar wajib ada pada kad pekerja, maka itu adalah keperluan, dan ia dibolehkan.


Tetapi di mana tidak ada keperluan, seperti papan iklan besar, tidak ada keperluan di situ. Banyak syarikat besar hanya memaparkan nama mereka dan mengiklankan produk mereka, cukup dengan memaparkan gambar produk sahaja tanpa perlu menggunakan gambar manusia.



Sebagai contoh, jika terdapat botol, minuman, atau iklan susu, cukup memaparkan gambar susu itu sahaja, tidak perlu memaparkan gambar manusia. Semua ini tidak diperlukan. Perkara fizikal itu berbeza; jika anda mematikan skrin telefon bimbit, gambar itu akan hilang, tetapi jika terdapat gambar di dalam bilik, walaupun lampu dimatikan atau anda keluar dari bilik, gambar itu tetap ada.


Ada hadis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Di dalam rumah yang ada gambar, malaikat rahmat Allah tidak akan masuk.” Jadi, jika kita mahu malaikat rahmat Allah datang kepada kita, jika kita mahu bantuan Allah datang kepada kita, maka kita perlu menyelamatkan diri daripada syirik dan segala bentuknya.


Hari ini, ramai orang mempunyai hiasan seperti patung-patung dan arca di rumah mereka. Sekarang, fikirkanlah, jika ada 360 berhala di dalam Kaabah sebelum Islam, dan jika anda mempunyai benda serupa di rumah anda, apa bezanya? Tiada perbezaan. Perkara itu tetap sama, hanya bentuknya sahaja yang berbeza.


Sebagaimana Nabi Muhammad SAW memecahkan 360 berhala tersebut, baginda memberikan kita mesej bahawa kita tidak sepatutnya meletakkan patung-patung sebegini di mana-mana, dan jika kita melihatnya, ia seharusnya dimusnahkan. Namun, di sini saya ingin menegaskan bahawa ini adalah tugas negara, bukan tugas individu untuk mengambil tindakan sendiri.


Kerana Allah SWT, tidak akan menjadikan mereka yang menyebarkan kekacauan dalam sesebuah negara sebagai pembantu-Nya. Oleh itu, kita tidak boleh, nauzubillah, mencetuskan kekacauan di mana-mana negara. Tugas kita adalah menghormati undang-undang negara dan mengikutinya.


Ada yang berkata bahawa kerajaan telah menetapkan tarikh yang salah untuk melihat anak bulan, mereka mesti memperbetulkannya. Tetapi tugas kita adalah mengikuti kerajaan. Sama ada tarikh yang ditetapkan itu betul atau tidak, itu adalah tanggungjawab kerajaan. Kita harus mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan.


Begitu juga, jika kerajaan membuat undang-undang untuk menghapuskan perkara-perkara seperti berhala dan gambar, maka itu adalah cara terbaik dan tiada cara lain. Selagi kita tidak menyelamatkan diri daripada syirik dan segala bentuknya, bantuan Allah tidak akan datang, dan kita akan terus berada dalam kegelapan ini selamanya.


Allah SWT juga telah memberitahu saya dalam mimpi, “Qasim, lakukanlah tugas yang telah Aku perintahkan kepadamu, atau kamu akan kekal dalam kegelapan ini selama-lamanya.”


Sekarang, saya ingin bercakap tentang video AI. Video AI ini dibuat, dan banyak reaksi muncul di media sosial. Seorang tokoh agama memberikan mesej yang kuat dan bahkan memperolokkannya. Tetapi Allah SWT, mengetahui bahawa saya tidak pernah pun membayangkan video AI ini. Seseorang yang lain yang membuatnya, dan ketika saya mengetahuinya, video itu sudah dibuat dua hari sebelumnya.


Saya berfikir bahawa sehingga video itu menjadi tular di YouTube dan mendapat tontonan, orang tidak akan tahu tentang mimpi-mimpi ini. Jadi, apabila video itu dibuat, ia juga dikongsi di TikTok dan YouTube, tetapi ia mendapat lebih banyak tontonan di TikTok. Namun, ketika saya mengetahuinya, sudah tiga hari berlalu. Saya mendapati bahawa terdapat satu saluran bernama ‘Call of the Covenant’, dan mereka adalah yang pertama membuat video itu.


Kemudian, ada orang lain yang percaya pada mimpi-mimpi itu dan mereka memuat naik video tersebut ke saluran TikTok mereka. Video itu mendapat banyak tontonan, dan apabila saya mengetahuinya, semuanya sudah viral dan di luar kawalan. Keesokan paginya, seseorang menghantar tangkapan layar kepada saya menunjukkan seorang tokoh agama menulis tweet menentang saya. Allah tahu, saya langsung tidak tahu apa-apa tentang video itu. Apabila saya melihat video tersebut buat kali pertama, saya terfikir, kenapa mereka buat video seperti itu? Adakah mereka bermimpi tentang saya?


Saya menontonnya beberapa kali dan menyedari bahawa bibir dalam video itu tidak sepadan dengan kata-kata. Barulah saya faham bahawa ia adalah video yang disunting, malah dihasilkan menggunakan teknologi AI. Saya tidak ada kaitan dengan video itu, dan saya tidak tahu menahu tentangnya.


Malangnya, tokoh agama itu tidak menyiasat dahulu sebelum menuduh saya dan menyebarkan fitnah. Mereka kata, nauzubillah, saya membuat dakwaan tertentu, sedangkan itu tidak benar. Jika mereka mengambil masa untuk menyiasat, mereka pasti tahu perkara sebenar. Semua tuduhan itu salah, malah mereka menyalahkan orang yang menyokong saya, mengatakan mereka juga perlu memeriksa kesihatan mental mereka. Nauzubillah.


Saya ingin tegaskan, memperolok-olokkan orang lain sangat tidak disukai Allah. Cara seperti ini menyebarkan imej buruk tentang Islam. Allah juga memberitahu saya dalam mimpi, tokoh agama itu juga Muslim, dan kita sepatutnya menyiasat sesuatu perkara dahulu sebelum menuduh. Namun, mereka terus memfitnah saya tanpa memikirkan kebenarannya. Saya hanya ingin katakan bahawa Allah SWT, adalah sebaik-baik pembela.



Kita semua ada di sini, dan anda juga ada di sini, insyaAllah. Sama seperti Allah SWT, sedang menjadikan mimpi ini kenyataan, Dia juga akan menjadikan mimpi-mimpi yang lain kenyataan. Jadi, apa yang benar dan apa yang salah akan menjadi jelas, insyaAllah. Saya akan katakan lagi, semoga laknat Allah atas para pendusta, dan semoga mereka yang menyesatkan orang dengan menggunakan nama Allah dan Rasul-Nya dibakar dalam api neraka selamanya. Sekarang, bagaimana boleh dikatakan, seperti yang orang katakan, saya berbohong? Manusia boleh tertipu, tetapi tidak ada siapa yang dapat menipu Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam. Jadi, bagaimana boleh dikatakan, Allah SWT terus membantu saya dan menyebarkan mimpi-mimpi ini, kalau saya, na’uzubillah, berbohong? Ini tidak mungkin.


Jadi, akhirnya, saya akan katakan bahawa hari ini, sebagai umat Islam, kita perlu menghilangkan kebencian dan kedengkian dari hati dan dada kita, serta menyelamatkan diri dari syirik dan segala bentuknya, serta dari kesombongan dan keangkuhan. Hanya dengan itu kita dapat berjalan di jalan yang lurus, dan ini adalah ajaran Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah menggelar seseorang sebagai pendusta atau munafik, jadi kita juga harus mengikuti Sunnah Nabi Muhammad SAW dan tidak mengatakan perkara sedemikian tentang sesiapa. Kita harus bersabar, dan dalam mimpi-mimpi ini, anda tidak akan menemui apa-apa yang bertentangan dengan Al-Quran dan Hadis, dan mereka yang membuat video tersebut pasti telah melihatnya. Apabila mereka tidak menemui apa-apa, mereka terus membuat tuduhan bahawa saya telah membuat dakwaan. Tetapi tiada perkara seperti itu. Jika anda ada bukti, tunjukkanlah, lampirkan klip di mana saya, na’uzubillah, membuat dakwaan. Anda semua tidak memberikan sebarang bukti. Anda hanya melakukan perkara yang mendengar dari orang lain dan berkata, ‘Okey, kami ada pengikut dan orang ramai fikir kami sedang menyebarkan agama, jadi mereka akan segera percaya apa yang kami katakan.’


Tapi, insyaAllah, Allah SWT adalah perancang segala-galanya dan Dia adalah perancang terbaik. Dia akan menampakkan kebenaran, dan insyaAllah, mimpi ini pasti akan menjadi kenyataan dengan rahmat Allah SWT. Allah SWT pasti akan mewujudkannya dan menunjukkannya. Sama seperti Allah SWT menjadikan mimpi yang sebelumnya menjadi kenyataan, insyaAllah.


Salam sejahtera dan semoga rahmat Allah dan keberkahan-Nya bagi kalian.


Semoga Allah membalas kalian dengan kebaikan.

Related Posts

10pressmalay

Muhammad Qasim Menentang Keganasan & Kemusnahan atas Nama Agama

Untuk Siaran Segera Muhammad Qasim tidak mempercayai keganasan, penindasan, atau pemusnahan harta sebagai cara untuk menghapuskan syirik. Beliau mengakui bahawa penguatkuasaan undang-undang agama dan peraturan berkaitan syirik, seperti imej, patung, makam, dan tempat ibadah bukan Islam, adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata.

Read More
Scroll to Top